NOVEMBER 2024

Empat Rang Undang-Undang Bakal Dibentang, DUN Bersidang Sehingga 20 Nov


KUCHING: Sebanyak empat Rang Undang-undang (RUU) akan dibentang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mulai 11 November hingga 20 November ini.

Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar berkata, empat RUU itu ialah RUU Perbekalan (Bajet) 2025, RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2024, RUU Pengagihan Gas (Pindaan) 2024 dan RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024.

DUN telah menerima satu usul daripada menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 23(1)(a) bertujuan meminda peraturan mesyuarat DUN, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan  Mesyuarat Prapersidangan Dewan Undangan Negeri(DUN) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini,hari ini.

Beliau berkata, usul itu akan dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan disokong oleh Datuk Dr. Annuar Rapa’ee.

Tiada usul diterima daripada ahli DUN biasa di bawah Peraturan Mesyuarat 23(1), sehingga tarikh tutup penghataran usul pada 1 November ini, tegas beliau. 

Menurut Asfia, Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan membentangkan RUU Perbekalan (Bajet) (2025) pada hari pertama persidangan.

RUU Perbekalan Tambahan (2024) akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi akan membentangkan RUU Pengagihan Gas (Pindaan) 2024 dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan akan membentangkan RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024, katanya.

Pada persidangan kali ini, katanya, DUN menerima 350 soalan daripada 42 ADUN dan kebanyakan soalan itu ditujukan kepada Kementeri Utiliti dan Telekomunikasi.

Menurut Asfia lagi, terdapat beberapa orang ADUN memohon cuti dua atau tiga hari untuk tidak menghadiri persidangan DUN atas sebab tugas-tugas tertentu.